Infokinabalu
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

KONGSI RUMAH DENGAN JIN?

Go down

KONGSI RUMAH DENGAN JIN? Empty KONGSI RUMAH DENGAN JIN?

Post by Agent info kinabalu Fri Jul 17, 2009 4:09 am

PERTEMUAN dengan pemilik sebuah kediaman banglo di Ampang, Selangor ini diletakkan syarat. Pemilik yang hanya mahu dikenali sebagai Asmah tidak mahu gambarnya atau kediamannya diambil dan disiarkan.

Mungkin sukar pada mulanya untuk wartawan Jurnal mendalami situasi sebenar, namun kerana menghormati privasi Asmah, cukup sekadar mendengar cerita yang sudi dikongsinya.

Begitupun, kami dibenarkan berdiri di pekarangan rumahnya sebentar untuk mencatatkan apa yang perlu, sebelum perbualan dilanjutkan di tempat lain.

"Rumah itu bukan hanya dihuni oleh enam orang ahli keluarga saya. Sejak mendiaminya 11 tahun lalu, kami menyedari tentang kehadiran satu 'keluarga' lagi.

"'Mereka' tinggal di sudut dan bahagian tertentu," ujar wanita berusia 42 tahun itu tentang banglo lima bilik yang ditawarkan harga menarik oleh ejen hartanah itu.

Tanpa riak resah atau takut, Asmah bercerita dalam nada mendatar. Menurutnya, dia tidak berbangga pun kalau ada yang mengatakan betapa mereka sekeluarga boleh menyesuaikan diri dengan keanehan dalam rumah itu selama ini.

"Kerapkali selepas tengah malam ketika kami tidur, pelbagai bunyi pelik kedengaran. Bunyi seperti orang mandi di bilik air atau memasak di dapur di tingkat bawah," terangnya. Katanya, setiap dia kali turun memeriksa, pasti dia menemui petunjuk tentang kedudukan barangan yang sedikit berubah.

Bagi ibu kepada empat cahaya mata itu, kejadian berulang seperti itu pernah membuatkannya ingin segera berpindah. Namun, ada saja yang mempengaruhinya agar melupakan hasrat itu.

"Suami saya sibuk dengan bisnes. Dia cuba memahami keadaan tetapi tidak mengambil serius tentangnya. Dia selalu merasionalkan saya dengan penjelasan bersifat logik. Saya tidak menyalahkannya," luah Asmah.

Bagaimanapun, Asmah tidak tahu bagaimana hendak menerangkan tentang aduan anak bongsunya mengenai kelibat budak lelaki dan perempuan sebayanya di dalam rumah.

"Saya sekadar memujuk anak-anak dengan mengatakan ia sekadar khayalan, tapi macam mana dengan alat permainan anak saya yang kerap hilang dan muncul semula ataupun beralih kedudukan dari tempat simpanannya?" katanya.

Lengan tanpa tubuh

Suri rumah sepenuh masa yang secara sambilan meminati seni membuat kraf perkahwinan itu pernah dikejutkan dengan insiden paling menakutkan.

Ketika dia leka menyiapkan perhiasan hantaran pada lewat malam, dia yang bersendirian pada waktu itu tiba-tiba tersentak dengan 'sesuatu' di hadapannya yang turut membantu menggubah hantaran.

Percaya atau tidak, benda yang 'membantu' itu hanyalah sepasang lengan tanpa tubuh!

"Memang pada mulanya saya trauma dan kami tidak senang duduk. Tapi, makin lama saya dapati ia tidak mengancam keselamatan kami.

"Lebih penting lagi, ia langsung tidak menjejaskan perkembangan anak-anak dan juga pembelajaran mereka. Kini saya sekadar berwaspada," kata Asmah.

Asmah telah merujuk kejadian misteri itu kepada pakar terapi minda daripada Aura Syifa' Malaysia, Nor Azizan Abdul Majid. Nor Azizan yang dihubungi di pejabat Airborne Discovery memberitahu sudah banyak kes yang dilaporkan tentang ruang yang dikongsi antara manusia dan jin atau disebut 'entiti'.

Menurut Nor Azizan, 'entiti' juga hidup secara bermasyarakat dalam dunia mereka, dan ia melakukan apa yang manusia lakukan. Namun, manusia tidak dibukakan hijab untuk melihat alam tersebut.

"Berkenaan penghuni rumah yang hidup bersama 'entiti' ini, penghuni rumah itu dinasihatkan supaya tidak bersahabat dengan makhluk ghaib walaupun entiti itu tidak mengganggu keluarga tersebut secara fizikal," pesan beliau yang turut mengingatkan pemilik rumah itu agar sentiasa memulihkan keyakinan terhadap Allah.

Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Menghalusi maksudnya, kata Nor Azizan, perhubungan antara manusia dengan jin lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Nor Azizan khuatir jika wujud perhubungan ia membuka jalan kepada manusia untuk dikelirukan oleh 'entiti' agar tidak meyakini Allah sepenuh hati.

Lama-kelamaan manusia boleh terpesong akidah, misalnya dengan mengharapkan bantuan 'entiti' bagi sesuatu perkara dan bukan lagi meminta pertolongan dan perlindungan Allah.

"Dalam al-Quran ada menyebut, di mana ruang tinggal manusia, tidak boleh ada jin. Maka, 'entiti' dalam rumah itu sebaik-baiknya perlu dipindahkan. Sebenarnya, tiada konsep rundingan antara manusia dengan jin.

"Ramai ahli paranormal hari ini yang bertolak ansur pada permintaan 'entiti'. Sedangkan manusia perlu bertegas agar 'entiti' meninggalkan ruang tempat tinggal manusia dengan sendirinya," kata Nor Azizan.

Agent info kinabalu
Junior info kinabalu

Posts : 60
Join date : 2009-07-01

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum