Infokinabalu
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

LEGENDA BUKIT BAGAHAK

Go down

LEGENDA BUKIT BAGAHAK Empty LEGENDA BUKIT BAGAHAK

Post by Agent info kinabalu Fri Jul 17, 2009 4:10 am

"Semua kami yang lain ini sama sahaja dengan anda; kami berminat dengan apa yang kami mahu. Jadi satu-satunya cara untuk mempengaruhi orang lain di atas muka bumi ini ialah untuk bercerita mengenai apa yang mereka mahu dan menunjukkan kepada mereka bagaimana mendapatkannya."

Dale Carnegie
1988-1955, Penulis dan Guru Pidato Amerika

PERKAMPUNGAN Bagahak yang terletak di dataran tinggi begitu mendamaikan, apatah lagi tanah-tanihnya subur untuk penanaman padi huma. Ketua mereka, Lamugong memerintah dengan adil sehingga kampung tersebut aman tenteram, penduduknya menolong dan berkasih sayang.

Pada suatu pagi yang cerah, selepas menjemur padi huma, Lamugong menuruni dataran tinggi untuk mencari kimah (sejenis tiram) di laut yang berdekatan dengan kampung mereka. Ketika sibuk mencari kimah yang semakin banyak kerana air mula surut, Lamugong terdengar bunyi bising ayam jantan dan apabila dilihat beberapa ekor ayam jantan sedang mengajak ayam betina memakan padi sambil mencakar padi tersebut.

Lamugong melemparkan satu kimah yang besar ke arah ayam tersebut. Kimah itu jatuh berdekatan tempat dia menjemur padi sehingga ayam tersebut bertempiaran lagi menyelamatkan diri.

Lalu Lamugong segera balik ke kampungnya membawa kimah yang banyak untuk dibahagi-bahagikan kepada seluruh penduduk kampungnya.

Kimah yang jatuh berdekatan halaman rumahnya menjadi sebuah lubang besar seakan-akan lesung menumbuk padi. Lamugong hanya tersenyum bangga kerana memikirkan kekuatannya melemparkan kimah tersebut sehingga terbenam hampir tiga kaki di dalam tanah yang pejal.

Memandangkan padi yang dijemur sudah kering, maka Lamugong mengambil padi tersebut untuk ditumbuk di dalam lesung kayu belian yang dibuatnya setahun lalu. Ketika asyik menumbuk padi, seluruh penduduk kampung datang mengerumuni Lamugong untuk mengkhabarkan bahawa mereka menemui satu keajaiban.

"Saya yang lempar kimah itu!" akui Lamugong bagi memecah kebuntuan penduduk kampung yang menyangka kimah berkenaan datang dari langit kerana kudrat orang biasa tidak boleh melempar kimah yang begitu besar ke atas sebuah bukit yang agak jauh dari pantai, apatah lagi sampai terbenam dan menghasilkan lubang besar. Semua penduduk kampung mengurut dada lega kerana bimbangkan bala yang akan mereka terima.

"Oleh kerana kampung kita ini belum ada nama, macam mana kalau kita namakan Bulud Sung," cadang Lamugong sempena lubang yang terjadi seperti lesung, apatah lagi kebetulan beliau sedang menumbuk padi di lesung.

Semua penduduk kampung gembira dan bersetuju untuk menamakan kampung mereka sebagai Bulud Sung atau Bukit Lesung sempena kejadian aneh tersebut.

Namun kegembiraan mereka tidak lama apabila satu kumpulan Dayak atau Sagai yang suka mengayau (memotong kepala) menyerang kampung mereka yang aman damai tersebut sehingga ramai penduduk kampung mati dan kepala mereka diambil. Tambah mengerikan lagi apabila mereka yang melarikan diri berselindung di hutan menyaksikan Sagai tersebut merebus dan memakan daging rakan mereka sebelum merampas padi dan segala harta yang boleh digunakan.


Lamugong yang pada mulanya cuba melawan Sagai berkenaan akhirnya mengambil keputusan untuk membawa anak buahnya bersembunyi di hutan kerana Sagai tersebut terlalu ramai dan ganas memenggal kepala seperti mengetam padi huma.

Apabila Sagai yang bertelinga panjang sampai ke dada tersebut beredar setelah kenyang memakan daging manusia, maka Lamugong kembali ke kampung Bulud Sung bersama penduduk yang lain dan mereka mengambil keputusan untuk tidur di sebuah rumah yang besar sebagai langkah berjaga-jaga bimbang kalau-kalau Sagai berkenaan menyerang lagi.

Lamugong sedih kerana lebih tiga puluh orang penduduk kampung tersebut mati dibunuh dan tidak dapat dikenali kerana kepala mereka telah dipenggal dan dibawa lari oleh Sagai dan sebahagian anggota hilang dimakan. Lamugong hanya sempat membunuh tiga orang Sagai yang cuba menghalangnya ketika berundur ke hutan dan dua orang Sagai lagi mati disumpit penduduk kampung yang bersembunyi di atas pohon ara.

Memandangkan kampung tersebut musnah akibat serangan Sagai dan merasakan tidak lagi selamat tinggal di situ, maka Lamugong mencadangkan kepada pengikutnya agar berpindah bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan perempuan yang tidak berdaya mempertahankan diri.

"Saya pernah sampai satu tempat yang cantik tapi belum ada orang tinggal. Tapi kita kena pakai rakit mau seberang sungai. Saya rasa di sana selamat kerana jauh dari sini," tegas Lamugong yang menyaksikan penduduk kampung hanya menganggukkan kepala sebagai tanda persetujuan.

Lamugong mengarahkan sepuluh orang pemuda merintis jalan dan membuat rakit terlebih dahulu bagi memudahkan mereka menyeberangi sungai yang berbuaya tersebut, sementara penduduk kampung mengemaskan barang keperluan yang masih tinggal dan sisa-sisa padi yang berhamburan di tanah.

Tiga hari kemudian setelah meminta restu Tuhan Yang Maha Kuasa, bertolaklah Lamugong bersama lebih enam puluh orang pengikutnya termasuk dua puluh lima orang kanak-kanak melalui denai yang dirintis oleh sepuluh orang pemuda tersebut.

Namun mereka terpaksa berhenti rehat beberapa kali kerana kaum wanita dan kanak-kanak keletihan. Malamnya mereka berkhemah di tepi anak sungai dan Lamugong terpaksa bergilir-gilir mengawal keselamatan pengikutnya yang tidur keletihan.

Esoknya ketika embun belum kering daripada daun, Lamugong dan pengikutnya menyambung perjalanan setelah mengalas perut dengan tiga ekor babi hutan panggang yang diburu oleh tiga pemuda semalam. Mereka terpaksa bermalam sekali lagi di tebing sungai kerana hari telah gelap dan keletihan berjalan sehari suntuk.

Hujan lebat pada malam itu meresahkan Lamugong kerana bimbang rakit mereka akan hanyut, apatah lagi semua pengikutnya basah kuyup. Lamugong mengarahkan pengikutnya menaikkan rakit buluh ke darat dan mengikatnya dengan rotan diperdu sepohon bambangan.

Keesokan paginya, para pengikutnya berjaya menyeberang sungai berbuaya tersebut setelah merentang rotan manau di sebelah menyebelah sungai berkenaan sebagai langkah keselamatan dan meneruskan perjalanan ke lokasi yang dipilih oleh Lamugong. Mereka hanya meredah belukar kecil tanpa meninggalkan sebarang bekas bagi mengelakkan Sagai mengesan mereka ke-rana jejak mereka ada di sebelah sungai.

Buluh yang digunakan untuk dibuat rakit dirungkaikan dan setiap pemuda memikul sebatang untuk perkakas membuat pondok, sementara mendirikan sebuah rumah besar untuk kediaman mereka. Rotan manau yang merentas sungai turut dirungkai dan digulung untuk dibuat tali pengikat gelagar rumah.

Lamugong memilih sebuah bukit yang agak curam sebagai tapak rumah mereka yang dapat melihat sebarang pergerakan penceroboh dari seberang sungai. Setelah seminggu, siaplah sebuah rumah besar yang diperbuat daripada kayu keras dan atapnya daripada lalang yang dianyam rapi dan dindingnya kulit kayu bercampur buluh yang dianyam.

Hiduplah mereka aman damai di kampung baru yang dinamakan Tungku sempena nama sungai yang dijumpai oleh seorang lelaki iaitu Tungku.

Tanah subur tersebut memberikan hasil lumayan apatah lagi lokasi yang dipilih terletak di kawasan lembah sungai yang dahulunya sering banjir.

Namun panas yang diharapkan tidak sampai ke petang, apabila hujan panas di tengah hari. Pada suatu malam rumah besar mereka diserang sekali lagi dan lima orang terbunuh manakala yang lainnya sempat menyembunyikan diri di dalam hutan. Kumpulan Sagai tersebut segera meninggalkan rumah besar bersama lima kepala dan barang makanan bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran sumpitan dan anak panah Bagahak. Mujur rumah besar tersebut tidak dibakar.

Lewat subuh barulah Lamugong dan pengikutnya keluar dari persembunyian dan terus mengadakan mesyuarat. Para pengikutnya mencadangkan mereka berundur jauh ke dalam hutan sekali lagi bagi mengelakkan serangan Sagai. Namun Lamugong tidak bersetuju kerana mereka tidak lagi mampu melarikan diri sebaliknya bertahan dan melawan secara bijak.

Akhirnya mereka sepakat mencapai persetujuan untuk menetap dan menerima cadangan Lamugong untuk membina perangkap bagi menghadapi serangan Sagai atau kumpulan lain.

Keletakan rumah mereka di bukit curam memudahkan mereka memasang perangkap yang dibuat daripada kayu balak bulat yang diikat dengan rotan manau pada tiang belian yang ditanam dalam. Seluruh curam bukit berkenaan digantung balak bulat sebagai persediaan. Segala hasil tanaman mereka disorokkan di dalam lubang besar yang ditutup dengan buluh dan semak samun.

Tidak puas dengan hasil perburuan mereka, Sagai datang menyerang lagi. Kali ini Lamugong dan pengikutnya telah bersedia menghadapi serangan tersebut. Lamugong mengarahkan pengikutnya agar membiarkan kumpulan Sagai tersebut memanjat tebing tinggi menuju ke rumah besar mereka. Apabila sampai di pertengahan, Lamugong menyuruh pengikutnya menetak rotan manau yang mengikat kayu balak sebesar dua pemeluk. Kayu tersebut bergolek ke bawah bukit dan ramai Sagai mati digelek kayu atau terjatuh ke gaung ketika mengelak dari ditimpa kayu balak.

Kumpulan Sagai tersebut berundur dan Lamugong beserta pengikutnya bersorak girang kerana tidak ada seorang Sagai yang berjaya memanjat bukit dan melepasi perangkap ciptaan Lamugong. Namun Lamugong segera menasihati pengikutnya agar waspada kerana mungkin Sagai akan menyerang balik. Malam itu tidak ada apa yang berlaku dan semua pengikut Lamugong tidur lena melainkan Lamugong dan beberapa pemuda yang tidur-tidur ayam bersilih ganti mengawal rumah besar itu dari serangan musuh.

Keesokan paginya seluruh penghuni rumah panjang tersebut terkejut kerana Kumpulan Sagai telah mendirikan khemah di bawah bukit dan bersedia melakukan serangan balas. Lamugong semakin bimbang kerana kumpulan Sagai tersebut kelihatan lebih yakin dan bersedia dengan tipu muslihat mereka. Beberapa pemuda mencadangkan agar melakukan serangan hendap dengan mengepung kumpulan Sagai berkenaan, namun Lamugong membantah kerana tidak mengetahui berapa ramai anggota kumpulan Sagai yang mungkin sebahagiannya bersembunyi di dalam hutan atau bersedia di kumpulan kedua jika kumpulan pertama tewas.

Lamugong semakin risau kerana kumpulan Sagai tersebut tidak melakukan sebarang serangan atau cuba memanjat bukit sebaliknya hanya bersembang sesama mereka dan beberapa orang daripada mereka mengikis kayu mengkirai. Lamugong serba salah kerana sehari suntuk duduk memerhati gerak geri musuh di bawah bukit sehingga terlupa menjamah ubi kayu rebus dan daging babi panggang yang diletakkan di sininya.

Oleh kerana keletihan, Lamugong terlelap sebentar ketika bersandar di tiang tepi beranda rumah besar itu.

"Apiii! Apiiii!"

Lamugong terkejut dari lena apabila mendengar beberapa pemuda berteriak dan menyebut api?api? Alangkah terkejutnya Lamugong apabila atap daun lalang rumah besar itu terbakar, benar-benar di atas kepalanya. Dia segera bingkas bangun dan mengarahkan pengikutnya keluar dari rumah tersebut dan mencapai apa yang sempat dibawa kerana api marak dengan cepat oleh angin petang yang bertiup agak kencang.

Betapa kecewanya Lamugong kerana rumah besar kebanggaannya hasil titik peluh seluruh pengikutnya hangus terbakar dalam sekelip mata sahaja. Kumpulan Sagai di bawah bukit bersorak girang kerana berjaya membalas dendam di atas kematian rakan mereka.

Barulah Lamugong sedar bahawa dirinya tertipu dan alpa dengan helah musuh yang menyediakan jamung daripada kayu mengkirai yang ringan dan mudah terbakar ketika pihaknya duduk bersenang lenang membuang masa memerhatikan musuh.

Lamugong semakin cemas kerana kumpulan Sagai mula mendaki bukit yang kini tidak mempunyai sebarang perangkap lagi kerana semuanya hangus terbakar termasuk tiang tempat mengikat kayu balak. Lamugong mengarah pengikutnya berundur dan bersembunyi di dalam hutan.

Tiba-tiba kedengaran riuh rendah di bawah bukit oleh tingkahan dan bunyi loceng dan gendang perang. Lamugong yang sudah hampir ke hutan, berpatah balik ke rumah yang terbakar untuk melihat apa yang berlaku.

Para pengikutnya mengikuti Lamugong dari belakang dan bersorak riang apabila melihat kumpulan Sagai itu lagi bertempiaran dikejar oleh orang Irranun yang tinggal berhampiran sungai Tungku.

Bunyi loceng pada 'Kampilan' (tombak berloceng) dan gendang perang yang dibawa orang Irranun menakutkan kumpulan Sagai. Ramai Sagai mati dibunuh oleh orang Irranun yang diketuai oleh Datu Kabugatan dan dibantu oleh Datu Kasilan.

Lamugong memeluk Datu Kabugatan dan Datu Kasilan lalu bersumpah dan mengakui persaudaraan dengan orang Irranun di atas pertolongan mereka yang menyelamatkan Lamugong dan pengikutnya yang hampir menjadi mangsa Sagai. Sejak daripada itu, tidak ada lagi kumpulan Sagai yang berani datang ke Tungku kerana takutkan orang Irranun dan bunyi 'Kampilan' yang membingitkan telinga besar mereka yang berlubang digantung subang berat.

Agent info kinabalu
Junior info kinabalu

Posts : 60
Join date : 2009-07-01

Back to top Go down

Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum